At-Taj Academy

HALA TUJU

Tingkatan 6 (STPM)
Untuk pilihan ini pelajar boleh memasuki universiti dengan menggunakan keputusan STPM. Dengan sistem peperiksaan modul yang baru, di mana setiap semester akan diuji, gaya pembelajaran di Tingkatan 6 sama seperti gaya universiti. Level STPM adalah setara A-Level. Lepasan STPM juga boleh menyambung pelajaran keluar Negara seperti di Australia, United Kingdom & United States.

STAM
Untuk pilihan ini, pelajar boleh memasuki universiti melalui keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia, STAM. Ini adalah khusus kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 aliran agama. Untuk pelajar yang bercita-cita untuk menyambung pengajian di tanah Arab selepas SPM boleh menyambung STAM.

Matrikulasi
Ini juga salah satu  laluan yang popular bagi pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang dan sederhana cemerlang. Kursus yang ditawarkan adalah aliran Sains, Teknikal dan Perakaunan. Tempoh masa program matrikulasi pula adalah selama 1 atau 2 tahun bergantung kepada kursus yang dipohon. Pelajar akan ditempatkan di Kolej Matrikulasi di seluruh Malaysia. Pelajar seterusnya akan ditempatkan di universiti terpilih mengikut kursus pilihan dan juga keputusan akhir matrikulasi.

 Asasi
Selepas pelajar mendapat keputusan SPM, pelajar haruslah memohon UPU sebelum ditawarkan ke program asasi atau diploma. Program asasi juga sebenarnya adalah sama seperti program persediaan sebelum ke ijazah, iaitu program  matrikulasi. Bezanya, program asasi diuruskan oleh pihak universiti sendiri, seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pelajar yang mendapat program asasi, kebiasaannya akan ditempatkan di universiti tersebut selepas tamat program.

PISMP
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan PISMP ini juga merupakan pilihan popular kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang. Para pelajar akan mengikuti program perguruan selama 4 tahun dengan 1 tahun persediaan. Ini juga merupakan laluan cepat dan selamat kepada pelajar lepasan SPM. Pelajar akan ditempatkan di InstitutPerguruan yang terdapat hampir di semua negeri di Malaysia mengikut pilihan kursus.

Program Persediaan Luar Negara
Bagi program persediaan  ke luar negara, program akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang sangat cemerlang. Kebiasaannya pelajar tersebut juga akan ditawarkan biasiswa penuh daripada pihak JPA atau MARA. Selain daripada pihak JPA atau MARA, terdapat juga agensi-agensi lain yang turut menaja pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Diploma (IPTA)
Bagi para pelajar yang sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, ini adalah pilihan yang paling sesuai. Banyak kursus yang ditawarkan oleh IPTA seperti UiTM dan UTM yang menawarkan kursus diploma kepada pelajar lepasan SPM.  

Diploma (POLITEKNIK)
POLITEKNIK juga merupakan pilihan yang tepat bagi pelajar lepasan SPM yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta berkecenderungan kepada kursus-kursus bidang teknikal. Namun, kursus yang ditawarkan oleh POLITEKNIK sebenarnya lebih banyak lagi pilihan. Tambahan pula, kini pelajar lepasan Diploma dari POLITEKNIK juga mempunyai peluang lebih cerah melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama di mana-mana POLITEKNIK yang menawarkan kursus sedemikian.

Diploma (IPTS)
Bagi pelajar yang mempunyai sumber kewangan yang lebih, atau mempunyai minat dalam bidang yang tidak ditawarkan di mana-mana IPTA, pelajar boleh memohon untuk melanjutkan pelajaran ke IPTS. Pemilihan IPTS perlulah dilakukan dengan hati-hati bagi mengelakkan pembelajaran hanya pada separuh jalan. Walau bagaimanapun, kini kita ada banyak pilihan IPTS yang berkualiti serta terbukti dalam melahirkan graduan yang hebat dan setaraf dengan lepasan IPTA.

Diploma Kemahiran Malaysia
Kursus Diploma Kemahiran Malaysia pula ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang berminat dengan bidang-bidang kemahiran. Pelajar-pelajar seperti ini boleh memasuki Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti, Akademi Binaan Malaysia CIDB dan banyak lagi institusi lain. Ianya tidak terhad kepada kemahiran perindustrian sahaja, malah kemahiran seperti bertukang, pertanian juga turut ditawarkan

1
Assalamualaikum, boleh kami bantu?
Powered by