Kata Aluan Pengetua

Kata Aluan Pengetua At-Taj

Ustaz Ahmad Mohsinul Hadi Al-Hafiz

          Assalamualaikum w.b.t. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pujian dan syukur ke hadrat Illahi yang masih berkehendakkan  kita sebagai seorang hamba untuk terus bernafas dan berkelana di muka bumi ini. Alhamdulillah, 2019 merupakan tahun  ketiga At-Taj  Academy meneruskan perjuangan di Taman Melawati. Segalanya bermula pada 2016 apabila At-Taj yang dibarisi 5 tenaga muda memulakan perancangan sebagai asbab kepada pencetus khalifah muda yang bakal mewarisi ilmu agama selaras dengan ilmu akademik. Pada Januari 2017, dengan hanya 14 orang pelajar di Seksyen 3 Shah Alam, kami terus berkembang sehingga mencecah seramai 66 orang pelajar pada 2019. Alhamdulillah, pada 2020 pelajar At-taj kini seramai 80 orang pelajar.

          At-Taj Academy merupakan asal daripada perkataan arab yakni “التاج“ yang bermaksud mahkota. Memilih institusi tahfiz pada masa kini bukanlah suatu tindakan yang asing lagi buat ibubapa untuk mencari jalan ikhtiar atau suatu usaha untuk mengelakkan  kesan negatif terus menular kepada remaja di dunia luar yang sentiasa mencabar. Dalam masa yang sama, mencari redha Allah untuk menjadikan anak mereka sebagai permata Alquran. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W : 

“Sebaik-baik kamu ialah yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya“

          Pada era 90-an, telah menjadi trend apabila anak – anak yang dimasukkan ke dalam Maahad tahfiz atau ke saluran agama akan dimomokkan dengan suara-suara yang mengatakan tiada tempat dan ruang pekerjaan bagi mereka yang menceburkan diri di dalam bidang agama. Namun kita harus sedar hakikatnya kini, graduan dalam bidang agama adalah antara yang paling terkemuka dan paling dicari saat ini untuk melaksanakan program-program profesional. Antaranya, MRSM kini telah ditambah nilai dengan kursus dan program tahfiz untuk selari dengan kehendak dan keperluan akademik di dalam negara ini. Kursus di universiti kini semakin dikembangkan dengan adanya pelbagai pilihan untuk dipilih oleh graduan aliran agama pada masa kini. Begitu ramai golongan profesional seperti doktor, peguam, menteri  dan ramai lagi yang berlatar belakangkan di kalangan Alhafiz dan golongan agamawan yang terkemuka.

          Namun harus diingat, sesebuah institusi tahfiz bukanlah  suatu tempat untuk memulihkan akhlak yang telah rosak semata mata, kerana pemikiran seperti itu akan menurunkan nilai tahfiz itu sendiri. Begitu juga, janganlah kiranya kita menganggap sesebuah maahad tahfiz itu merupakan pilihan kedua kita selepas gagalnya anak-anak  mendapat tempat di mana-mana sekolah berasrama penuh yang diidam-idamkan yang lain. Sebaliknya, jadikan lah maahad tahfiz pilihan pertama kita untuk menghantar anak anak untuk mengembangkan minat dan bakatnya.

          Antara keperluan anak-anak untuk menghafaz Alquran ialah sebagai persediaan untuk menjadi seorang ilmuan Islam dan persediaan asas untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi pada masa akan datang. Ramai yang bertanya mengapa anak-anak menghafaz sahaja tanpa memahami maksud maksud Alquran. Ramai yang tersalah anggap, jika anak-anak dimasukkan ke dalam maahad tahfiz secara automatiknya anak-anak akan memahami segala ilmu agama. Sebaliknya inilah yang dipanggil sebagai proses pembelajaran yang bukan hanya mengambil masa selama satu atau dua tahun, bahkan ilmu asas menghafaz al quran yang didapati di Maahad merupakan sebuah batu asas untuk menampung ilmu-ilmu  yang lebih mencabar yang akan dipelajari pada hari mendatang.

          Akhir kalam, semoga catatan ini dapat memberi sedikit manfaat dan moga ia tercatat sebagai salah satu asbab untuk menarik penulisnya ke syurga yang kekal selamanya.

Amin. InsyaAllah.

Ustaz Ahmad Mohsinul Hadi Al-Hafiz
Pengetua At-Taj Academy